4 Mei 2013

PLANET (1)



UTARID


Utarid adalah planet yang paling hampir dengan matahari, kira-kira 57.9 juta kilometer dan planet terkecil di dalam sistem suria. Diameter Utarid adalah 40% lebih kecil daripada Bumi, dan 40% lebih besar daripada Bulan. Malahan saiznya juga lebih kecil daripada bulan Musytari, Ganymede dan bulan Zuhal, Titan.Suhunya terlalu tinggi untuk menampung kehidupan.


BUMI

Bumi (Jawi: بومي, bahasa Inggeris:Earth) merupakan planet ketiga daripada matahari. Ia juga boleh dirujuk sebagai Bumi, Planet Bumi atau Terra.
Rumah kepada jutaan spesies, termasuklah manusia, bumi juga merupakan satu-satunya tempat di dalam semesta di mana kehidupan diketahui wujud. Pembuktian saintifik menunjukkan bahawa planet ini telah terbentuk kira-kira 4.54 bilion tahun yang lalu, dan kehidupan muncul di permukaannya di dalam tempoh satu bilion tahun. Bumi dijangkakan telah berusia selama 4,600 juta tahun. Jarak purata Bumi dengan matahari adalah 149.6 juta kilometer.
Bumi mempunyai lapisan udara dan medan magnet yang dipanggil magnetosfera yang melindung permukaan Bumi daripada angin suria, sinaran ultra merbahaya, dan radiasi dari angkasa lepas. Lapisan udara ini menyelitupi bumi sehingga ketinggian 700 kilometer dan yang selebihnya dianggap angkasa lepas. Lapisan udara ini dibahagi kepada Troposfera, Stratosfera, Mesosfera, Termosfera, dan Eksosfera.
Lapisan ozon, setinggi 50 kilometer, wujud di lapisan Stratosfera dan Mesosfera dan melindungi bumi daripada sinaran ultra lembayung. Perbezaan suhu permukaan Bumi adalah di antara -70 °C sehingga 55 °C bergantung kepada iklim tempatan. Sehari di Bumi bersamaan 24 jam dan setahun di bumi bersamaan 365.25 hari. Bumi mempunyai jisim seberat 59,760 juta juta tan, dengan luas permukaan 510 juta km persegi. Ketumpatan Bumi pada 5,500 kilogram setiap meter persegi digunakan sebagai unit perbandingan ketumpatan berbanding planet yang lain, dengan ketumpatan Bumi sebagai 1.
Bumi mempunyai garis pusat sepanjang 12,756 kilometer. Graviti Bumi diukur sebagai 10 N kg-1 dijadikan unit ukuran graviti planet lain, dengan graviti Bumi sebagai 1. Bumi mempunyai 1 satelit asli iaitu bulan. 70.8% permukaan bumi diseliputi air. Udara Bumi terdiri daripada 78% nitrogen, 21% oksigen, dan 1% wap air, karbon dioksida, dan gas lain. Bumi dianggarkan mempunyai teras dalam bumi yang terdiri daripada besi nikel beku setebal 1,370 kilometer dengan suhu mencecah 4,500 °C, diselitupi pula oleh teras luar yang cair setebal 2,100 kilometer, diselitupi pula oleh mantle silika padu setebal 2,800 kilometer membentuk 83% isipadu bumi, dan akhir sekali diselitupi oleh kerak batu silika hampir 100 kilometer tebal.
Kerak bumi lebih nipis di dasar laut iaitu sekitar 5 kilometer. Kerak bumi terbahagi kepada beberapa bahagian dan bergerak melalui pergerakan plat tektonik (teori hanyutan benua) menghasilkan gempa bumi. Puncak tertinggi adalah gunung Everest setinggi 8,848 meter, dan lautan terdalam mencecah 10,924 m. Tasik tertinggi adalah tasik Titicaca, dan tasik terbesar adalah Laut Caspian. Lautan terbesar ialah Lautan Pasifik. Lebih 2/3 kawasan Bumi dilitupi oleh air dan 12% daripada kawasan Bumi merupakan padang pasir.


ZUHRAH



Zuhrah (Inggeris: Venus; juga dikenali sebagai Kejora) merupakan planet kedua terdekat kepada Matahari, mengorbitnya pada setiap 224.7 hari bumi. Nama Zuhrah ini diambil daripada bahasa Arab yang bermaksud bunga kerana bentuknya pada waktu pagi atau pada waktu senja seakan-akan bunga. Jika dirujuk pada nama bahasa Inggeris pula, planet ini dinamakan bersempena dewa Venus, dewa cinta Rom. Ia merupakan objek semula jadi yang paling terang di waktu malam, kecuali Bulan, mencapai magnitud kecerahan −4.6. Oleh kerana Zuhrah merupakan planet inferior dari Bumi, ia tidak pernah muncul jauh daripada Matahari: Kelonjongannya mencapai maksimum sebanyak 47.8°. Zuhrah mencapai kecerahan maksimum sebelum matahari naik atau pun terbenam, disebabkan alasan tersebut ia selalunya disebut sebagai Bintang Pagi atau pun Bintang Petang.
 Zuhrah dianggap sebagai planet kembar Bumi kerana saiz, jisim, isipadu dan ketumpatannya yang hampir sama dengan bumi. Malahan, planet Bumi dan Zuhrah terbentuk daripada awan nebula yang sama. Walau bagaimanapun, kedua dua planet ini mempunyai sifat yang berbeza. Zuhrah tidak mempunyai lautan, dan diselubungi dengan atmosfera yang mengandungi karbon dioksida pada peratusan yang tinggi. Atmosfera Zuhrah juga tidak mempunyai wap air dan awan awan di Zuhrah terdiri daripada titisan titisan asid sulfurik. Di permukaan Zuhrah, tekanan atmosferanya 92 kali ganda lebih tinggi daripada tekanan udara Bumi pada permukaan laut.Atmosferanya memerangkap jumlah  haba yang banyak daripada Matahari. Keadaan ini menjadikannya lebih panas daripada Utarid.


0 ulasan:

Catat Ulasan